SELANGOR

Rumah Prihatin ceriakan Tahun Baru Cina Chin Yoke Ming

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 2 FEB: Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini cukup bermakna buat Chin Yoke Ming, 42, dan abangnya Chin Yoke Sen, 43, apabila mereka menerima kunci rumah baru yang dinantikan menerusi program Rumah Prihatin.

Sebelum ini, Yoke Ming hanya menyewa di sekitar Rawang ekoran kekurangan wang untuk membina rumah sendiri yang akhirnya direalisasikan Kerajaan Negeri.

“Saya gembira rumah yang dinantikan siap dibina. Tanah ini sudah lama dimiliki keluarga tetapi akibat kekurangan wang kami terpaksa menyewa RM300 sebulan lebih 10 tahun.

“Akhirnya tahun ini, kami dapat rumah baru dan bercadang mendudukinya selepas sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai operator kilang tinggal bersama abangnya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat serangan angin ahmar sejak dua tahun lalu.

Majlis Perasmian Rumah Prihatin di Kampung Sungai Terentang itu dirasmikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei.

Pei Nei berkata, rumah itu dibina menerusi pembiayaan Kerajaan Negeri dengan kos RM50,000 seunit pada keluasan 600 kaki persegi.

Rumah yang siap dalam tempoh tiga bulan ini dilengkapi tiga bilik, satu bilik air, tandas, dapur serta ruang tamu.

“Dahulunya kos pembinaan rumah ini sekitar RM35,000. Tetapi akibat faktor kenaikan harga barangan pembinaan dan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST), kos pembinaan meningkat kepada RM50,000 seunit.

“Skim Rumah Prihatin ini terbuka bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri dengan syarat mempunyai hak milik tanah sendiri khusus bagi kawasan perkampungan.

“Ini rumah pertama dirasmikan untuk 2018 dan setakat ini terdapat empat permohonan di DUN Rawang,” katanya.

Menurutnya, di bawah Skim Rumah Prihatin ini terdapat dua jenis permohonan iaitu pembinaan rumah baharu dan membaiki bumbung dengan peruntukan maksima RM20,000.

Katanya, permohonan boleh dikemukakan kepada Pejabat Penghulu sebelum disemak Pejabat Tanah dan Daerah sebelum dibawa ke Jawatankuasa Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Kerajaan Prihatin untuk diluluskan.


Pengarang :