EKONOMINASIONAL

Saham AirAsia X paling aktif

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Saham AirAsia X Bhd (AAX) meningkat dan paling aktif dalam dagangan awal hari ini, susulan prestasi kewangan 2017 yang kukuh, lapor BERNAMA.

Keuntungan bersih syarikat penerbangan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, melonjak kepada RM98.89 juta berbanding RM44.84 juta pada 2016, manakala hasil meningkat kepada RM4.56 bilion berbanding RM3.90 bilion sebelumnya.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih meningkat kepada RM84.41 juta berbanding RM39.01 juta sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM1.22 bilion berbanding RM1.17 bilion.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, AAX berkata pendapatan syarikat itu disokong oleh pertumbuhan 12 peratus jumlah penumpang. Pendapatan sampingan bagi setiap penumpang meningkat empat peratus kepada RM142 tahun ke tahun.

“Faktor muatan tempat duduk mencatatkan 83 peratus iaitu dua mata peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Berdasarkan trend tempahan semasa, ia berkata muatan dan tambang purata adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Pada jam 9.47 pagi, saham AAX meningkat dua sen kepada 42.5 sen dengan 92.68 juta unit diurus niaga.


Pengarang :