SELANGOR

Saman RM14 bilion Puncak Niaga dibatal Mahkamah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 FEB : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Kerajaan Negeri berjaya membatalkan saman hampir RM14 bilion difailkan Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) berhubung penstrukturan semula industri air Selangor.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan mereka selepas mendapati pernyataan tuntutan plaintif (Puncak Niaga) adalah cacat, semalam.

Dalam penghakiman ringkasnya, Akhtar antara lain berkata, pernyataan tuntutan dikemukakan dalam setiap tindakan di mahkamah perlu mengandungi semua fakta penting berdasarkan kaedah-kaedah mahkamah.

Dalam kes itu, beliau bagaimanapun mendapati plaintif gagal menyediakan pernyataan tuntutan yang mematuhi kaedah-kaedah mahkamah.

“Butiran yang tidak sepatutnya diperakukan sudah diperakukan di dalam pernyataan tuntutan sementara butiran penting yang sepatutnya diperakukan tidak diperakukan, di dalam pernyataan tuntutan.

“Lebih memburukkan keadaan, perakuan anda (plaintif) sendiri bercanggah antara satu sama lain,” katanya.

Akhtar turut memerintahkan Puncak Niaga membayar kos RM25,000 kepada setiap defendan selain mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk keputusan berhubung tuntutan balas Mohamed Azmin terhadap Puncak Niaga.

Peguam Lau Mark Chi Ming hadir bagi pihak plaintif sementara Mohamed Azmin diwakili peguam Latheefa Koya, Kerajaan Negeri diwakili Penasihat Undang-undangnya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Abdul Khalid diwakili peguam New Sin Yew.

Terdahulu, pada November, Disember dan Januari lalu, Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri dan Abdul Khalid masing-masing memfailkan permohonan membatalkan saman Puncak Niaga.

Mohamed Azmin turut memfailkan tuntutan balas terhadap Puncak Niaga atas alasan syarikat konsesi air itu sengaja memulakan saman tanpa alasan yang munasabah dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Dato’ Menteri Besar itu menuntut ganti rugi am, faedah atas ganti rugi dari tarikh writ saman sehingga keputusan penghakiman pada kadar dianggap sesuai oleh mahkamah selain kos dan relif lanjut.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan pada 27 Oktober lalu, Puncak Niaga antara lain mendakwa Mohamed Azmin dan Abdul Khalid menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Besar dengan mengancam menyebab atau memohon atau cubaan menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air, di Selangor.

Plaintif antara lain mendakwa, penangguhan rundingan berkenaan usaha penyusunan semula industri air di Selangor selama lima tahun menjadi manfaat politik peribadi Mohamed Azmin dan Abdul Khalid, selain mendakwa rundingan terbabit tidak dilakukan atas dasar ‘willing buyer willing seller’ (urusniaga suka sama suka) sehingga menyebabkan plaintif mengalami kerugian serta kerosakan.


Pengarang :