BERITA UTAMAPBTPELANCONGANSELANGOR

Sasar Klang tumpuan Peta Pelancongan Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 7 FEB : Majlis Perbandaran Klang (MPK) mensasarkan Klang dipilih diletakkan dalam peta pelancongan Malaysia akan datang.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, inisiatif merealisasikan hasrat itu dilaksanakan menerusi tumpuan berterusan pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk meningkatkan imej pelancongan Klang.

“Untuk itu, MPK giat melaksanakan kemudahan infrastruktur dan fasiliti perbandaran Klang termasuklah membukukan produk pelancongan daerah ini.

“Saya percaya, usaha ini akan menjadi bahan galakan kepada prospek dan perkembangan pelancongan Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada tayangan video khas, Program Taklimat dan Bengkel Pelancongan Klang, di Hotel Puteri Garden, pagi ini.

Terdahulu, Klang tampil dengan imej Tahun Melawat Klang 2017 yang menyaksikan kedatangan jumlah pelancongan terbesar sekitar 1 juta pelancong.

Untuk tempoh itu, antara destinasi pelancongan terbaik di Klang yang menerima jumlah kedatangan pelancong paling tinggi seperti di Heritage Walk, Muzium Diraja, Guan Yin Temple dan bandar Klang.

Tidak dilupakan, keindahan Sungai Klang dan Jambatan Kota yang menjadi antara daya tarikan terkini pelancongan di daerah diraja itu.

=EZY=


Pengarang :