BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

Sasar pelaburan 2018 sehingga RM7 bilion, ASEAN turut dijelajah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Negeri menetapkan sasaran pelaburan sebanyak RM6.5 hingga RM7 bilion untuk dicapai tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri optimis sasaran itu akan tercapai menerusi pelbagai agenda yang akan dilakukan.

Katanya, walaupun situasi ekonomi dunia mencabar ketika ini, namun bulan pertama tahun ini, Selangor berjaya membawa pelaburan sejumlah RM1.5 bilion daripada negara Jepun.

“Ini adalah satu kejayaan yang sangat memberangsangkan walaupun pada bulan pertama tahun ini.

“Bagi sasaran pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), kita masih diperingkat awal perbincangan, namun saya kira sekurang-kurangnya sebanyak RM6.5 hingga RM7 bilion.

“Tahun lepas, kita tetapkan RM6.5 bilion tetapi amat mencabar untuk kita capai, bagaimanapun saya masih menunggu statistik yang akan dikeluarkan pada Mac ini oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya kepada SelangorKini.

Chang Khim berkata misi pelaburan turut akan menjelajah ke negara ASEAN antaranya Laos, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

“Negara ASEAN ini sudah ada perancangan dan setiap bulan sekarang-kurangnya kita akan melawat satu negara bagi menarik pelabur.

“Begitu juga dengan negara-negara Eropah seperti yang kita jelajah sebelum ini, kita masih akan teruskan,” katanya.

Terdahulu, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), agensi promosi pelaburan Selangor terus memantau situasi ekonomi semasa sebelum menetapkan sebarang sasaran pelaburan pada tahun depan seperti tahun lalu.

=EZY=


Pengarang :