GLOBAL

Sekatan PBB tidak halang Pyongyang jana lebih RM700 juta

GLOBAL 3 FEB: Korea Utara didakwa melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila berjaya memperoleh pendapatan sebanyak AS$200 juta (RM777.7 juta) hasil eksport komoditi yang diharamkan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan menurut laporan sulit yang diperoleh kumpulan pemantau bebas PBB, Pyongyang turut dituduh membekalkan senjata kepada Syria dan Myanmar.

Laporan itu yang diserahkan kepada jawatankuasa sekatan, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam, mendedahkan Korea Utara mengeksport arang batu ke beberapa pelabuhan, termasuk di Russia, China, Korea Selatan, Malaysia dan Vietnam.

Ia dibuat menggunakan dokumen palsu yang mendakwa negara seperti Russia dan China sebagai pengeksport arang batu itu dan bukannya Korea Utara.

UNSC yang mempunyai 15 negara anggota sebulat suara melaksanakan pelbagai sekatan terhadap Korea Utara sejak 2006 bertujuan menyekat dana bagi membiayai program nuklear dan peluru berpandu negara itu.

Sekatan itu termasuk larangan eksport arang batu, besi, plumbum, tekstil dan makanan laut serta pengimportan minyak mentah dan produk petroleum ditapis.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :