BERITA UTAMASELANGOR

Selangor model kejayaan ekonomi Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 25 FEB : Ekonomi negara ini berkembang positif hasil kemajuan dan kestabilan ekonomi di Selangor, kata Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata, Selangor merupakan gerbang kepada perolehan kepesatan ekonomi yang berjaya meletakkan ekonomi Malaysia pada tahap terbaik.

“Selangor merupakan gerbang pelaburan negeri dan menjadi contoh kepada negeri lain-lain. Kepelbagaiannya bukan sekadar kemampuannya dalam bidang ekonomi, tetapi turut meliputi aspek perpaduan dan sosial.

“Malaysia hanya akan berjaya apabila Selangor berjaya kerana kemajuan Selangor adalah tiga tahun ke hadapan berbanding kemajuan Malaysia.

“Oleh itu, Kerajaan Selangor terus berusaha gigih untuk membina Selangor sebagai ‘model state’, dan untuk merealisasikan hasrat itu, ia memerlukan usaha berterusan daripada rakyat pelbagai kaum di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, peringkat Negeri Selangor di Dataran Petaling Jaya, malam tadi.

Terdahulu, Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh berakhir tiga tahun berturut-turut.

Ia sekali gus memberi gambaran jelas tahap kemajuan pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadi bahawa kemajuan ekonomi berada pada landasan terbaik kini.

Statistik 2016 lalu menyaksikan KDNK negeri berkembang kepada 22.7 peratus, berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ia diikuti Wilayah Persekutuan (15.5 peratus), Sarawak (9.8 peratus), Johor (9.4 peratus), Pulau Pinang (6.7 peratus) dan Sabah (6.7 peratus).

=EZY=


Pengarang :