SELANGOR

Selangor pegang prinsip demokrasi, semua dapat peruntukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 10 FEB: Kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip demokrasi dalam menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat demi menghormati pilihan yang dibuat pemilih dalam pilihan raya.

Dato’Menteri Besar Selangor, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu membuktikan Selangor satu-satunya negeri yang menyalurkan peruntukan kepada pembangkang berbanding kerajaan lain, di negara ini.

“Di peringkat persekutuan sekali pun, saya sebagai Ahli Parlimen Gombak tak dapat peruntukan tetapi di Selangor ada 12 Ahli Dewan Negeri (ADN) Umno-Barisan Nasional (BN) kita beri peruntukan kerana berpegang kepada prinsip demokrasi.

“Mereka dipilih oleh rakyat, maka tanggungjawab kerajaan menyediakan peruntukan. Kalau Umno pun saya bagi, takkanlah PAS saya tak bagi tetapi peraturan mesti dipatuhi sebab ini duit rakyat bukan duit saya dan hanya menguruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Kad Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Jamuan Teh Bersama Penduduk Pangsapuri Keramat Pangsa Jalan Enggang Taman Keramat, di sini, semalam.

Katanya, ADN yang mempunyai masalah belum mendapat peruntukan perlu bertemu Pegawai Daerah yang ditugaskan sebagai Pegawai Kewangan peringkat daerah.

Bagaimanapun katanya, semua ADN harus mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan.

Katanya, pihak yang membangkitkan isu peruntukan itu tidak wajar mengheret pihak istana dalam isu berkenaan.

“Mana-mana ADN patut jumpa Pegawai Daerah kerana ini adalah tugas Pegawai Daerah sebagai Pegawai Kewangan di peringkat daerah bukan tuanku sultan. Tak payahlah heret istana dalam isu ini,” katanya.


Pengarang :