SELANGOR

Selangor pertimbang tanah TOL untuk pengusaha industri bunga

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Negeri sedia mengeluarkan Lesen Menduduki Sementara (TOL) kepada bakal pengusaha tanaman hiasan di Hub Floris Selangor, Sungai Buloh untuk menggunakan tanah terbiar milik kerajaan.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, hal ini berikutan permintaan tinggi dalam kalangan anak muda di kawasan terbabit untuk terlibat sekali gus merancakkan lagi industri yang memberikan pulangan lumayan.

“Untuk tanaman hiasan ini orang muda mula minat sebab ia menjanjikan keuntungan di mana mereka bukan jual pokok sahaja tetapi mereka juga gubah, reka bentuk kawasan halaman.

“Saya mendapat permintaan daripada Ketua Kampung supaya menyediakan lebih banyak kawasan nurseri dan kita sedang melihat tanah kerajaan yang boleh diberi status TOL bagi memperluaskan lagi kawasan nurseri.

“Ini satu cabaran kepada Kerajaan untuk mencari tanah di kawasan ini,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun keputusan pemberian TOL ini tertakluk kepada syarat yang perlu dipatuhi.

Katanya, pada masa ini kebanyakkan pengusaha tanaman hiasan di sini menggunakan halaman rumah sebagai tapak pameran dan jualan masing-masing.


Pengarang :