SELANGOR

Selangor selesai ganti 422.5KM paip

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 27 FEB: Kerajaan Negeri komited menyelesaikan masalah paip lama seluruh negeri dengan mensasarkan kerja-kerja gantian paip melibatkan jarak 422.5 kilometer melibatkan peruntukan sebanyak RM373.7 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah pembaziran air yang menyumbang kepada pertambahan kuantiti kerugian air tidak berhasil (NRW).

“Masalah NRW merupakan pembaziran yang menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil dan memberikan kesan kepada pendapatan.

“Bagaimanapun, hasil komitmen pentadbiran negeri untuk mengatasi masalah ini, Selangor berjaya mengurangkan masalah NRW sebanyak 30.1 peratus sehingga penghujung tahun lalu.

“Pengurangan ini mampu diraih selepas penstrukturan air negeri diuruskan Kerajaan Selangor dan ini tentunya merupakan perkembangan positif kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Semenyih 2 di bangunan pentadbiran loji berkenaan, pagi ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan masalah NRW kepada 32 peratus, menjelang 2019.

Pada masa sama Mohamed Azmin sebelum ini menyarankan supaya semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor bagi melancarkan gerak kerja penggantian paip lama negeri.

Malah Air Selangor juga sebelum ini telah menubuhkan pasukan khas membabitkan 150 kakitangan sepenuh masa bagi mengesan kebocoran dan dibaik pulih dengan segera.

Ia sebagai usaha berterusan Air Selangor dalam merealisasikan pengurangan NRW secara holistik dan kawalan kualiti kerja terbaik.

Untuk rekod, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) gagal mengurangkan kadar NRW kurang daripada 30 peratus sekaligus menjangkakan NRW meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020.

 


Pengarang :