EKONOMI

Selepas jatuh merudum, Wall Street kembali ditutup tinggi

NEW YORK 7 FEB: Saham Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras positif dalam sesi dagangan yang tidak menentu pada Selasa, susulan indeks saham mencatat lantunan daripada penyusutan harian terbesar S&P 500 dan Dow dalam tempoh enam tahun.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan saham di Wall Street beralih daripada paras negatif ke positif selepas indeks memulakan sesi dagangan dua peratus lebih rendah. Dow mencatatkan 1,100 mata perbezaan antara paras tinggi dan rendah pada Selasa.

“Walaupun penurunan mendadak dalam tempoh beberapa hari lalu, asas ekonomi AS masih kukuh, dan ia bukan saja berlaku di negara ini, malah juga di seluruh ekonomi global,” kata Ketua Strategi Pelaburan Global BNY Mellon Investment Management di New York, Alicia Levine.

Dow Jones Industrial Average menokok 567.02 mata, atau 2.33 peratus, kepada 24,912.77.

S&P 500 meningkat 46.2 mata, atau 1.74 peratus, kepada 2,695.14 manakala Nasdaq Composite naik 148.36 mata, atau 2.13 peratus kepada 7,115.88.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :