SELANGOR

Semangat perpaduan, kunci kesejahteraan bumi Darul Ehsan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 25 FEB: Prinsip perpaduan dan toleransi yang diamalkan kepelbagaian masyarakat di negeri ini kekal memacu kepada kesejahteraan bumi Darul Ehsan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, resam keunikan kaum di negeri itu terus dipegang utuh bagi menggambarkan keamanan yang dikecapi rakyat Selangor.

“Marilah kita terus membingkai muafakat dan meraikan kepelbagaian sebagai aset negeri yang paling berharga untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Perpaduan yang dinikmati seluruh rakyat Selangor ini perlu dipertahankan walaupun terdapat kepelbagaian dari segi etnik, budaya dan kaum.

“Kepelbagaian dan keunikan kaum ini adalah khazanah dan bukannya kelemahan untuk pembangunan negeri.

“Justeru, semangat perpaduan inilah yang akan melahirkan negeri yang aman dan makmur untuk menjana pembangunan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, peringkat Negeri Selangor di Dataran Petaling Jaya, malam tadi.

Terdahulu, prinsip permuafakatan itu turut dipegang utuh pentadbiran negeri yang ditunjangi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, penyatuan kaum yang diterapkan di seluruh negeri berjaya mengukuhkan keharmonian dan perpaduan di Selangor.

“Walaupun kita hidup dalam persekitaran kepelbagaian kaum dan agama, namun kita berani nyatakan bahawa inilah yang menjadi aset kepada pengukuhan keharmonian Selangor.

“Rakyat yang bersatu hati dan bekerja kuat pastinya akan dilimpahi dengan rezeki kemajuan ekonomi negeri dari Tuhan.

“Buktinya, walaupun kita diserang oleh pihak tertentu dan ada media yang memutar belit kenyataan pimpinan Selangor, namun negeri kita ini muncul sebagai negeri paling maju dan kaya dalam Malaysia,” katanya.

=EZY=


Pengarang :