SELANGOR

Seni politik Azmin indah, bijak tepis kemelut

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 FEB: Kebijaksanaan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyelesaikan kemelut dalaman pentadbiran negeri seperti dicanang seteru politiknya membuktikan kredibiliti beliau sebagai pemimpin masa depan negara.

Penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar berkata, Dato’ Menteri Besar itu tidak betah, mahupun melatah ketika wujudnya pelbagai tekanan pihak luar terhadap kepimpinan negeri yang diterajuinya.

“Seni politik Azmin halus dan indah. Beliau tidak memecat (pimpinan negeri) kerana maslahat politik yang digunakan alasan sebab mereka dipilih oleh rakyat.

“Bukan itu sahaja (rakan muafakat Pakatan) juga masih selari dengan dasar Kerajaan Selangor untuk membantu rakyat.

“Ertinya Azmin bukan seorang ‘peringus’ tetapi sangat menghormati kuasa rakyat,” tulisnya di blog, msomelayu.blogspot.com.

Sayuti berkata, tindakan Mohamed Azmin mengambil pendirian terbuka atas prinsip muafakat yang dipegangnya berjaya mengekalkan pentadbiran Pakatan di Selangor.

Malah katanya, pemimpin tertinggi negeri itu komited mengelakkan kejadian buruk, di Selangor yang akan dijadikan senjata oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

“Beliau sebagai bahu yang memikul tahu masalah dan risikonya. Apa yang tidak mahu dilihat ialah kerajaan pimpinannya kemelut dan berkecamuk,” katanya.

Bagaimanapun selepas melihat perkembangan senario politik di Selangor, Sayuti mencadangkan Mohamed Azmin lebih berhati-hati menyusun strategi jangka panjang untuk mengekalkan kepimpinannya, di Selangor.

“Beliau hanya perlu memberi sedikit tumpuan menyusun Pakatan. Perkara utama ialah menyelesaikan pengagihan kerusi DUN dan jika beliau dapat melakukan itu, martabat dan imej politiknya sebagai pemimpin terus bersinar.

“Orang akan angkat tabik kepadanya dan tidak mustahil akan menyanjungnya sebagai pemimpin masa depan,” katanya.


Pengarang :