SELANGOR

SIIAF 2018: Dekati kehidupan suku Temuan

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 1 FEB: Temui tradisi, kraf, tarian dan makanan suku Temuan dalam Festival Seni Adat Antarabangsa Selangor 2018 (SIIAF 2018) di Taman Botani Negara Shah Alam, pada 4 dan 5 Ogos depan.

Tourism Selangor dalam laman facebooknya memaklumkan, SIIAF adalah peluang terbaik buat masyarakat mendekati penduduk asal Malaysia terutama dari Selangor.

Katanya, SIIAF kali ini menonjolkan sisi menarik masyarakat Temuan iaitu suku ketiga terbesar dari 19 suku Orang Asal di Semenanjung Malaysia.

“Festival dua hari ini menetapkan sasaran untuk menarik lebih ramai pelawat menikmati persembahan kebudayaan dari suku asli dalam negeri dan antarabangsa.

“Tourism Selangor juga berhasrat mencipta rekod masakan tradisional, Buluh Ayam terpanjang dalam Malaysia Book Of Record,” katanya.

SIIAF anjuran Tourism Selangor merupakan festival budaya dari pelbagai suku terbesar di rantau ini, sejak 2015.

Ia dianjurkan sempena Sambutan Orang Asli Sedunia yang jatuh pada Ogos setiap tahun.

Untuk rekod, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengkategorikan Temuan di bawah kumpulan subunit Orang Asli Aborigin (secara rasmi dipanggil Proto-Melayu).

Perkampungan Temuan kebiasaannya dihuni antara 50 hingga 500 orang terutamanya di lembah tanah rendah di serata daerah Selangor dan sedikit di negeri lain.

Pada masa lalu, aktiviti ekonomi utama Temuan adalah menanam padi kerana mereka adalah suku penanam padi yang mahir selain berpengalaman dalam kemahiran kejuruteraan yang diperlukan untuk mengawal aliran air ke petak sawah.


Pengarang :