GLOBAL

Singapura beri bonus hingga RM888 kepada rakyat

SINGAPURA 20 FEB: Rakyat Singapura berusia 21 dan ke atas akan menerima bonus berjumlah S$100 hingga S$300 (RM296 hingga RM888) bergantung kepada jumlah pendapatan mereka.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata, individu yang menerima jumlah bersih S$28,000 (RM82,965) ke bawah bagi pendapatan pada tahun 2016 akan diberikan bonus sebanyak S$300 (RM888).

Manakala rakyat yang meraih pendapatan antara S$28,001 hingga S$100,000 (RM82,968 hingga RM296,000) menerima S$200 (RM592), lapor AGENSI.

Pendapatan bersih merujuk kepada jumlah pendapatan keseluruhan yang diterima selepas penolakan beberapa kos lain.

Rakyat Singapura yang meraih pendapatan S$100,000 (RM296,000) atau memiliki lebih dari satu hartanah akan menerima S$100 (RM296).

Jumlah keseluruhan pemberian bonus itu mencecah S$700 juta (RM2.07 bilion).

“Pemberian bonus ini membuktikan komitmen kerajaan Singapura dalam berkongsi hasil daripada pembangunan yang dinikmati selama ini,” kata Swee Keat.

Menurut beliau, kerajaan menjangkakan lebihan bajet keseluruhan berjumlah S$9.6 bilion (RM28.45 bilion) untuk tahun kewangan 2017 iaitu lebih tinggi berbanding ramalan awal S$1.9 bilion (RM5.63 bilion).

SUMBER: AGENSI

 


Pengarang :