SELANGOR

Skim rawatan jantung tepat pada masanya

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Inisiatif Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor yang baru diperkenalkan adalah tepat pada masanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, bantuan yang disalurkan menerusi skim itu akan dapat membantu meringankan beban kewangan pesakit jantung.

“Kita berbangga dengan adanya inisiatif ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi rawatan percuma kepada rakyat Selangor.

“Bantuan ini datang tepat pada masanya. Ia sebagai tambahan kepada sumbangan institusi lain seperti Lembaga Zakat dan juga Kementerian,” katanya di Majlis Pelancaran Skim terbabit di IJN, di sini.

Azhari berkata sejak 25 tahun penubuhan IJN, pihaknya sudah merawat lebih 3 juta pesakit.

Manakala, katanya, jumlah pesakit berasal atau bermastautin di Selangor adalah seramai 17,900 orang, tahun lalu.

“Sebagai institusi yang mempunyai kemudahan dan kemahiran dalam bidang ini, IJN akan terus memikul tanggungjawab dan kekal memberikan rawatan secara konsisten.

“Sehubungan itu, IJN akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor menerusi skim itu,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan pelaksanaan skim itu bagi membantu rakyat negeri merawat penyakit terbabit yang kini merupakan pembunuh nombor satu negara.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menyediakan peruntukan RM10 juta untuk membiayai 500 pesakit.

Ia akan dijayakan menerusi bentuk kerjasama strategik antara IJN dan Selgate Corporation untuk membina ‘medical city’ di Seksyen 13, Shah Alam yang antara lain menyediakan khidmat pakar rawatan jantung yang dimeterai, pada 31 Oktober lalu.

=EZY=

 


Pengarang :