SELANGOR

Smart Selangor: SIRIM sedia jalin kerjasama teroka teknologi baru

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 FEB: SIRIM Technology Venture bersedia menawarkan perkhidmatan dan menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri meneroka teknologi baru untuk diaplikasi dalam pembangunan negeri.

Ketua Pegawai Operasinya, Ajmain Kassim berkata, pihaknya menyokong usaha Selangor menerusi gagasan Smart State yang bakal direalisasi, menjelang 2025.

“Selangor mempunyai banyak peluang untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang antaranya teknologi hijau dan waste management, justeru tiada masalah untuk kita bekerjasama,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Ajmain menyifatkan inisiatif dilaksanakan itu adalah agenda positif, sekali gus akan memberi inovasi baru kepada rakyat.

“Seperti dalam forum ini, kita berbicara berkenaan revolusi industri 4.0, dunia digitalisasi dan pelbagai lagi perkara yang diperlukan negeri.

“Justeru, bagi pihak SIRIM, kita boleh bekerjasama memberi perkhidmatan kepada Selangor dan kami berharap akan lebih banyak peluang juga ruang dalam kerjasama itu nanti,” katanya.

Sebelum ini, SIRIM menandatangani tujuh memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta untuk membolehkan kerjasama dalam bidang teknologi dan pengkomersialan.

SIRIM Tech. Venture Sdn. Bhd. turut menandatangani MoU dengan lima syarikat iaitu Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd, Strategic Euro Resource Sdn. Bhd, Safari Tech PLT, Longe Medikal Sdn. Bhd. dan Best Impulse Sdn. Bhd bagi membantu mengkomersialkan teknologi yang dibangunkan di SIRIM seperti BioNG, Tangki LPG, Multistage Biogas System dan peranti perubatan.

Terdahulu, Ajmain antara panel yang menyertai forum Selangor Synergies 2: Emerging Technology in Selangor yang diadakan di Hotel Saujana, di sini.

Selain itu, panel lain turut terdiri daripada Profesor Kejuruteraan Kimia Universiti UCSI, Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim dan Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit, Dr Fahmi Ngah serta
rakan pengurusan Mohd Ridza & Co, Mohamed Ridza Abdullah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IBR Asia, Dato’ Beatrice Nirmala selaku moderator.

Selangor Synergies 2: Emerging Technologies in Selangor membincangkan teknologi baru yang bakal dicipta bagi meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai hab pelaburan.

Forum yang dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kerjasama Kumpulan IBR Asia turut membincangkan beberapa inovasi juga penemuan teknologi baru yang sedang dibangunkan dan diterima Selangor.


Pengarang :