GLOBALNASIONAL

Solidariti Palestin retorik Najib

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Sekretariat Palestin-Malaysia mendesak kerajaan supaya tegas berhubung dasarnya terhadap Israel sebagai negara yang menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Palestin-Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hal itu kerana Malaysia tidak menolak menjadi tuan rumah kemasukan perwakilan Israel ke persidangan World Urban Forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah, katanya, pendirian Malaysia dalam mengutuk pelanggaran Israel terhadap undang-undang antarabangsa sepatutnya dinyatakan dengan menafikan kemasukan ke perwakilan itu.

“Sekiranya Malaysia dipaksa menjadi tuan rumah kepada Israel dan perlu memberikan visa kepada semua delegasi bagi menghadiri persidangan itu, maka kerajaan sepatutnya menarik diri sebagai tuan rumah.

“Ini kerana, tindakan ini sangat bertentangan dengan pendirian kerajaan yang sentiasa lantang bersuara berhubung dasar terhadap Palestin dalam setiap forum antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi berkata, baru-baru ini, dalam perhimpunan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai solidariti dengan rakyat Palestin kini boleh dianggap sebagai retorik kosong.

Katanya, tindakan kemasukan perwakilan Israel itu mencerminkan percubaan untuk mewujudkan hubungan dengan Malaysia.

“Apatah lagi, Diplomat David Roet mendakwa ada bertemu dengan pegawai tertinggi Malaysia. Roet juga mendakwa, data rasmi yang dikeluarkan pada 2014 oleh Biro Statistik Pusat Israel (CBS) menunjukkan hubungan perdagangan Malaysia-Israel mencecah AS$1.5 bilion setahun dan semakin berkembang pesat.

“Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan memimpin masyarakat Asean menentang kejahatan yang dilakukan kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin.

“Pada masa sama, hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel juga dihentikan serta-merta,” katanya.


Pengarang :