SPR perlu sedia kemudahan mesra OKU ketika mengundi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Sabirah Aziz

SPR perlu sedia kemudahan mesra OKU ketika mengundi

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (DAMAI) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan kemudahan ‘mesra Orang Kelainan Upaya (OKU)’ bagi memastikan golongan itu dapat mengundi dalam keadaaan baik dan sempurna pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun ini.

Presidennya V. Murugeswaran berkata, kemudahan itu akan dapat menggalakkan golongan OKU keluar mengundi ketika pilihan raya bagi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warganegara sama seperti warganegara Malaysia normal.


“Pusat pengundian selalunya di sekolah dan balai raya yang tidak mempunyai kemudahan OKU, membataskan pergerakan mereka yang berkerusi roda dan bertongkat menuju ke saluran pengundian, justeru fasiliti seperti ramp (tanjakan) serta tandas bergerak hendaklah disediakan untuk kemudahan mereka.

“Petugas SPR dan sukarelawan yang bertugas pada hari mengundi juga hendaklah diberi latihan komprehensif mengenai bagaimana membantu dan menyediakan kemudahan untuk golongan OKU,” katanya kepada media selepas menyerahkan buku panduan membantu golongan OKU semasa mengundi kepada pihak SPR yang bertajuk Malaysian Standard Book (MS 1184: 2014).

Murugeswaran berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan latihan bagi membantu petugas SPR dan sukarelawan mengendalikan golongan OKU.

“Pegawai dan sukarelawan bertugas itu hendaklah cekap mengendalikan OKU pelbagai kekurangan upaya, kerana mobiliti mereka adalah terbatas dan ia boleh menjejaskan hasrat mereka menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia untuk mengundi,” katanya lapor BERNAMA.

Buku Malaysian Standard Book (MS 1184: 2014) adalah buku panduan kepada pegawai SPR dan sukarelawan mengenai tatacara mengendalikan serta membantu golongan OKU semasa hari mengundi.

Sementara itu, jurucakap SPR ketika ditemui pemberita berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran dan cadangan dari persatuan itu dan akan segera mengambil tindakan terhadap sebarang cadangan yang dikemukakan.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next