NASIONAL

Tahun Baru Cina: PLUS tawar rebat tol 20 peratus

PETALING JAYA, 2 FEB: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat 20 peratus  pada beberapa hari bukan puncak sempena Tahun Baru Cina sebagai inisiatif mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, rebat tersebut ditawarkan pada 4 hari bukan puncak iaitu 12, 13, 20 dan 21 Februari kepada pengguna kenderaan Kelas 1 dengan perjalanan melebihi 100KM dan membayar tol menggunakan kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang telah didaftarkan menerusi portal PLUSMiles.

Katanya, inisiatif itu diambil memandangkan kira-kira 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari puncak cuti perayaan Tahun Baru Cina iaitu peningkatan sebanyak 10.3 peratus berbanding hari-hari biasa.

“Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa.

“Bagaimanapun, rebat tol 20 peratus akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go masing-masing (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang berdaftar menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Mac sehingga 14 Jun 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tawaran rebat itu merupakan langkah PLUS menggalakkan orang ramai bergerak pada hari-hari bukan puncak di samping memberi penghargaan kepada pemegang kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go berdaftar dengan portal PLUSMiles menerima manfaat.

 

Untuk mendaftar, pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go boleh melayari portal PLUSMiles di www.plusmiles.com.my untuk melayakkan mereka menikmati rebat tol yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.


Pengarang :