GLOBAL

Tak sependapat, Pengarah FBI baharu bakal letak jawatan

GLOBAL 3 FEB: Pengarah Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), Christopher Wray yang baru menerajui agensi itu enam bulan lalu berdepan dengan kemungkinan terpaksa meletakkan jawatan selepas bertentangan pendapat dengan Presiden Donald Trump.

Agensi Berita Antarabangsa CNN NEWS melaporkan Wray,50 mungkin mengambil tindakan berkenaan jika Trump melulus dan meneruskan pendedahan memorandum rahsia yang kini mencetuskan ‘keributan’ di Washington.

Memorandum setebal empat muka surat itu mengandungi laporan tentang penyalahgunaan kuasa dilakukan Jabatan Negara AS dan FBI membabitkan pemantauan terhadap seorang anggota kumpulan kempen Trump yang mempunyai hubungan dengan Rusia.

Wray dilantik Trump untuk menggantikan James Comey yang dipecat selepas bilionair itu mendakwa agensi itu bersikap berat sebelah terhadapnya.

Sementara itu, Trump me­nuduh pegawai tinggi mempolitik FBI dan siasatan Jabatan Keadilan untuk merosakkan partinya. parti Republikan.

FBI dalam kenyataan luar bia­sanya kelmarin melahirkan kebimbangan terhadap dokumen tersebut yang dirangka oleh Pengerusi Republikan Jawatankuasa Perisikan Dewan, Devin Nunes.

“Kami amat bimbang tentang fakta yang tidak dimasukkan dalam memorandum itu yang boleh memberi kesan besar terhadap ketepatan isi kandungan memorandum berkenaan,’’ katanya.

Kenyataan terhadap memorandum itu masih belum ditandatangani dan dijangka tidak akan didedahkan tanpa ‘lampu hijau’ daripada Pengarah FBI yang baharu itu.

Sementara itu, ‘orang kuat’ ketiga dalam Jabatan Negara AS, Tom Shannon semalam meletak jawatan menjadikan beliau sebagai diplomat kanan yang terbaharu meninggalkan jabatan ber­kenaan sejak Trump mengambil alih kuasa pemerintahan tahun lalu.

Shannon yang bertugas sebagai Penolong Setiausaha Negara untuk hal ehwal politik merupakan diplomat paling kanan di jabatan itu dengan perkhidmatan selama 34 tahun di bawah enam Presiden dan 10 Setiausaha Negara.

Melalui surat yang dihantar kepada jabatan itu, Shannon, 60, memberi alasan peletakan jawatannya disebabkan oleh hal peribadi.

“Ini adalah keputusan peribadi yang didorong oleh tanggungjawab untuk bersama-sama keluarga dan menetapkan arah baharu saki baki hidup saya,’’ katanya.

SUMBER: AFP/Reuters

 

 


Pengarang :