SELANGOR

Tapak sampah haram punca tasik tercemar diambil tindakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil tindakan drastik ke atas tapak pembuangan sampah haram yang dipercayai menjadi punca pencemaran tasik di Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, tindakan segera MPKj itu membolehkan kerja pembersihan tasik dilakasana segera.

“MPKj sudah bertindak kerana ada saliran pada tapak pembuangan sampah yang berdekatan dengan perumahan itu mengalir ke dalam tasik dan pihak kontraktor MPKj juga sedang giat membersihkan tasik itu,” katanya.

Sayuthi berkata, pihaknya turut mengeluarkan arahan supaya aktiviti pelupusan sisa binaan di kawasan itu dihentikan serta-merta.

Malah, katanya, kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan tuan tanah.

“Kita kenal pasti punca bau itu dari tapak pelupusan sampah terbabit yang berdekatan dengan kawasan perumahan dan proses rawatan air bagi mengurangkan bau busuk sudah dilakukan,” katanya.

Terdahulu, penduduk mengadu tasik terbabit mengeluarkan bau busuk selain airnya bertukar kehitaman dan berminyak.

Mereka mendakwa terdapat segelintir penduduk muntah dan bau busuk terbabit melekat pada pakaian.

Selain itu, banyak ikan turut mati di tasik terbabit.

Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah supaya memulihkan tanah berkenaan.


Pengarang :