BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor lawat bayi lelaki ditinggalkan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 2 FEB: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin semalam, berkenan melawat seorang bayi lelaki ditinggalkan di hadapan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), pada 28 Januari lalu.

Keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor secara mengejut ke Wad Bersalin, Hospital Shah Alam itu diiringi Penaung Diraja RACTAR, Tengku Puan Panglima Perlis, Tengku Puteri Nor Zehan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Bayi lelaki berusia hampir seminggu itu ditemui di dalam sebuah beg sekolah yang ditinggalkan di hadapan rumah kebajikan tersebut.

Tengku Permaisuri Selangor yang terkesan dengan berita itu berkenan melihat sendiri perkembangan bayi tersebut yang kini dalam keadaan sihat dan diletakkan di bawah pemantauan rapi.

Baginda menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang berlaku khususnya peningkatan gejala pembuangan bayi yang amat membimbangkan.

“Beta merasakan ibu bapa, keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan sekali gus mengelakkan anak-anak terjerumus ke arah melakukan perkara-perkara negatif.

“Beta amat sedih melihat bayi tidak berdosa ini menjadi mangsa di atas kesilapan pertimbangan individu tertentu yang mungkin belum matang dalam berfikir dan membuat keputusan,” titahnya.

Baginda juga berharap, pihak berkuasa bertindak lebih tegas dalam membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja yang boleh membawa kepada pembuangan bayi.

“Kejadian pembuangan bayi ini seharusnya membuka mata masyarakat untuk lebih peka dan prihatin dengan keadaan sekeliling.

“Beta rasa dengan pegangan agama yang teguh, perkara-perkara sebegini boleh dielakkan kerana dalam Islam juga mengharamkan pembuangan bayi dan merupakan satu dosa besar,” titahnya.


Pengarang :