BERITA UTAMASELANGOR

Terus tingkat ilmu, guru KAFA lebih kompetensi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 FEB: Kerajaan Negeri memuji usaha Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang komited meneruskan pengajian sehingga mempunyai kelulusan ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PHD).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun kelulusan minimum jawatan guru KAFA hanya menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun mereka berjaya mencipta kemajuan untuk lebih berkompetensi.

“Kerajaan Negeri merasa bangga kerana guru KAFA terus meningkatkan ilmu, walaupun kelulusan minimum hanya di peringkat SPM dan ketika ini guru ini bukan sahaja mempunyai diploma serta ijazah pertama tetapi juga mempunyai kelulusan ijazah sarjana dan PHD.

“Diharap kepakaran dan profesionalisma ini terus menjadi motivasi kepada guru lain, sekali gus dapat memberi komitmen tinggi dalam melahirkan bangsa berjiwa Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks dibacakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Yunus Hairi di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Guru KAFA 2017, Meraikan Guru KAFA Bersara dan Jasamu Dikenang 2018.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mahu tenaga pengajar lain berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan komitmen tinggi bagi melahirkan budaya kerja cemerlang serta mempunyai sikap profesionalisma.

Katanya, pembangunan keupayaan perlu disokong budaya organisasi yang mengutamakan penambahbaikan berterusan dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Menyedari hakikat itu, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan bagi memupuk serta membangun modal insan berkemahiran tinggi.

“Peruntukan turut disalurkan di pusat latihan antaranya Institut Latihan dan Dakwah Selangor serta Institut Murabbi Antarabangsa Negeri untuk melihat perkembangan peningkatan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Dalam program itu, seramai 493 guru KAFA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang menerusi lima kategori membabitkan Anugerah Jasamu Dikenang (khidmat 25 tahun), Anugerah Persaraan, APC (Guru KAFA), APC (Ketua Guru) dan APC (Penyelia KAFA).


Pengarang :