KENYATAAN MEDIA

Tiada penyelesaian konkrit internet Malaysia lembab

Saya ambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak baru-baru ini, dimana kerajaan akan meningkatkan kelajuan internet secara berterusan dengan pemasangan lebih banyak fiber dan pemberian spektrum kepada syarikat telekomunikasi.

Beliau berkata bagi perkhidmatan 4G dan 3G, kerajaan tetap memberi fokus kepada pemberian akses untuk rakyat di setiap pelusuk negara.

1. Isu kelajuan internet ini sudah lama dibangkitkan di negara ini dan ia dikatakan paling lembab di antara negara maju yang lain. Persoalan ini juga timbul kepada Salleh, apakah yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menjamin akses internet ini dalam kelajuan seperti negara-negara maju yang lain?

Rakyat Malaysia pastinya inginkan satu solusi konkrit daripada pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Melihat kepada realiti hari ini yang mana industri mudah alih yang semakin meluas, pengguna media sosial yang meningkat dan pelaksanaan urusniaga elektronik (e-dagang) yang semakin melonjak tinggi statistiknya.

2. Ini bukan perkara auta tetapi fakta. Di mana dalam laporan OpenSignal (wireless coverage mapping specialist) dari UK baru-baru ini telah mengatakan internet 4G di Malaysia antara yang paling lembab di dunia.

Kita masih ketinggalan di belakang negara-negara jiran kita iaitu Vietnam (average speed 21.49 Mbps), Brunei (17.48 Mbps) and Myanmar (15.56 Mbps).

Malaysia juga di tangga ke-79 dunia dalam kelajuan internet mudah alih dalam laporan yang dikeluarkan oleh Speedtest.net.

Kaji selidik itu juga mengukur kelajuan internet dalam kategori jalur lebar tetap (fixed broadband) yang meletakkan Malaysia pada ranking ke-62.

3. Sebagai negara yang menuju ke arah perkhidmatan dan perindustrian, kelajuan internet memainkan peranan penting untuk mencapai kemajuan. Kita jauh ketinggalan daripada negara jiran kita Singapura.

Selain itu, realitinya jikalau dibandingkan dengan negara luar, harga caj langganan internet di Malaysia adalah lima hingga 10 kali ganda lebih mahal berbanding negara-negara maju seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura turut menawarkan kadar harga internet dan jalur lebar lebih rendah berbanding Malaysia.

4. Malah, kelajuan internet di luar bandar juga perlu diambil kira dan tidak boleh jauh ketinggalan bandingkan kawasan bandar terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dalam pembentangan bajet 2014, memperuntukkan hampir RM6 bilion untuk peningkatan akses internet.

Namun, sampai hari ini, rakyat Sabah dan Sarawak tidak mendapat akses inetrnet yang laju dan seperti yang dijanjikan. Banyak maklumat di internet mereka tidak boleh akses dengan baik.

5. Justeru itu, sekiranya kerajaan menjadi milik Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jaminan diberikan untuk pengunaan internet dengan harga lebih murah dan akan menggandakan kelajuan internet sebanyak dua kali daripada kelajuan terkini, dengan kadar separuh daripada harga semasa.

Dalam pada masa sama juga Pakatan Harapan turut menjanjikan capaian internet meliputi seluruh kawasan termasuk kawasan luar bandar.

Prasanth Kumar Brakasam
Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN Melaka
Parti KEADILAN Rakyat


Pengarang :