GLOBAL

Tragedi Saratov Airlines: Semua penumpang & krew maut, siasatan dibuka

DIOLAH OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 12 FEB: Pihak berkuasa Russia membuka kertas siasatan ekoran tragedi kapal terbang Saratov Airlines yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di Moscow mengorbankan kesemua 71 penumpang dan kru pesawat.

Antara turut menjadi mangsa adalah tiga kanak-kanak dan tiga warga asing iaitu Switzerland, Azerbaijan and Kazakhstan.

Punca nahas itu masih dalam siasatan dan masih terlalu awal mengesahkan bagaimana pesawat itu boleh terhempas selepas dua minit berlepas dari lapangan terbang.

RT NEWS melaporkan Menteri Pengangkutan Russia Maksim Sokolov terbang ke kawasan kejadian di Argunovo di wilayah Moscow, sumber rasmi mengesahkan.

Imej pesawat malang itu dimuat naik ke laman sosial menunjukkan keadaan kapal itu berkecai.

Sumber: Media Russia

Pesawat Antonov An-148 dikendalikan penerbangan domestik Saratov Airlines itu dalam perjalanan ke Orsk, bandar di Urals, dan terhempas di daerah Ramensky di pinggir ibu kota ini.

Agensi berita Russia melaporkan 65 penumpang dan enam kru berada dalam pesawat itu.

Laporan menyatakan saksi di perkampungan Argunovo melihat sebuah pesawat yang terbakar jatuh dari langit.

Sumber perkhidmatan kecemasan Russia memaklumkan Interfax, 71 penumpang dalam pesawat itu “tiada peluang” untuk selamat.

Agensi sama melaporkan, serpihan bangkai pesawat bertaburan di sekitar lokasi terhempas.

Pesawat buatan Russia itu berusia tujuh tahun dan dibeli Saratov Airlines daripada syarikat penerbangan tempatan lain setahun lalu.

Screenshhot: FlightRadar24

Media Russia melaporkan, perkhidmatan kecemasan gagal sampai ke tapak nahas melalui jalan raya dan pekerja penyelamat berjalan kaki ke tempat kejadian.

Sumber di Domodedovo, lapangan terbang kedua terbesar ibu kota ini, memberitahu pesawat terbabit hilang dari radar dua minit sejurus berlepas.

Agensi berita melaporkan, Menteri Pengangkutan Russia dalam perjalanan ke tempat nahas.

Menurut Kementerian Pengangkutan, beberapa kemungkinan punca nahas sedang dinilai, termasuk keadaan cuaca dan kesilapan manusia.

Gabenor rantau Orenburg, destinasi pesawat itu, memberitahu media Russia bahawa lebih 60 orang dalam penerbangan itu adalah dari wilayah berkenaan.

Pendakwa raya membuka siasatan terhadap Saratov Airlines susulan nahas itu.

SUMBER: AFP/REUTERS/ RT NEWS


Pengarang :