SUKANKINI

UCL: Manchester City selesa belasah FC Basel 0-4

OLEH AFIX REDZUAN

BASEL, 14 FEB: Manchester City membawa bekalan gol selesa untuk aksi kedua peringkat 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah apabila membelasah FC Basel 0-4 awal pagi tadi.

Ilkay Guendogan muncul watak penting buat The Citizen apabila mencatat dua gol untuk setiap babak.

City membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi tandukan Guendogan apabila beliau berjaya menyambut sepakan penjuru Kevin De Bruyne.

Selang empat minit kemudian Bernardo Silva menjadikan kedudukan 0-2 apabila berjaya melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol Basel, Tomas Vaclik.

Pasukan pelawat tambah selesa meniti babak pertama apabila Sergio Aguero menjadikan kedudukan 0-3 pada minit ke-23 hasil rembatan luar kotak penalti.

Basel yang memiliki rekod cemerlang menentang kelab dari England gagal untuk bangkit apabila Guendogan sekali lagi merobek gawang tuan rumah untuk gol keempat pada minit ke-53.

Kedua-dua pasukan akan bertemu bagi aksi kedua di Stadium Etihad, 8 Mac ini.

Foto Kredit: UEFA Champions League

 


Pengarang :