SUKANKINI

UCL: Ronaldo ajar PSG di Bernabeu

OLEH AFIX REDZUAN

MADRID, 15 FEB: Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo mempamerkan aksi cemerlang dengan menyumbang dua gol bagi membantu Real Madrid bangkit menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 3-1 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

PSG terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan Adrien Rabiot yang berjaya melepaskan rembatan rendah pada minit ke-33 sekaligus menewaskan penjaga gol, Keylor Navas.

Real Madrid kembali mengatur gerak dan akhirnya berjaya memperoleh sepakan penalti apabila pertahanan PSG menarik Toni Kross pada penghujung babak pertama.

Cristiano Ronaldo tidak berdepan masalah meletakkan bola di jaring bagi gol penyamaan pasukan tuan rumah bagi kedudukan pada babak pertama terikat 1-1.

Masuk babak kedua, PSG lebih banyak menguasai permainan menerusi gandingan Neymar, Edinson Cavani dan Kylian Mbappe tetapi gagal menyudahkan peluang.

Percaturan Zinedine Zidane memasukkan Marco Acensio bagi menggantikan Isco pada minit ke-79 membuahkan hasil apabila pemain muda itu berjaya menjadi tonggak kebangkitan Real Madrid pada 10 minit terakhir permainan.

Ronaldo berjaya menampan bola hantaran lintang Acensio pada minit ke-83 bagi meletakkan kembali Real Madrid di hadapan mendahului 2-1.

Selang tiga minit kemudian, giliran Marcelo menceriakan penyokong tuan rumah menerusi gol ketiga selepas tenang menampan hantaran Acensio untuk menewaskan penjaga gol PSG, Alphonse Areola.

Dengan kelebihan dua gol, Real Madrid akan bertandang ke Perancis 7 Mac ini bagi aksi kedua dalam usaha merekodkan kejuaraan buat kali ke-13.

Foto Kredit: UEFA Champions League


Pengarang :