GLOBAL

UNRWA: Tak wajar potong dana bantuan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

NEW YORK, 10 FEB: Keputusan Amerika Syarikat (AS) memotong dana bantuan agensi bantuan dan pekerjaan pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menyebabkan ia berdepan krisis kewangan.

Jurucakap UNRWA, Peter Mulrean berkata, Kuwait satu-satunya negara yang menyumbang kepada UNRWA sebanyak AS$900,000 (RM3.5 juta) manakala 15 negara penderma lagi termasuk Sweden dan Jepun memutuskan akan mempercepatkan bantuan bagi melancarkan operasi UNRWA.

“Keadaan ini berlaku apabila Presiden AS, Donald Trump, bertindak AS$60 juta (RM237 juta) saja bantuan diberikan setahun berbanding AS$350 juta (RM1.39 bilion) sebelumnya.

“AS masih belum menjelaskan kewajaran di sebalik dana AS$60 juta (RM237 juta) dan Washington tidak menampakkan kepentingan untuk melakukan perubahan,” katanya dipetik Berita Harian.

Sebelum ini, AS adalah penderma tunggal terbesar kepada UNRWA yang menyediakan sekolah dan klinik kesihatan kepada 5.3 juta pelarian di wilayah Palestin, Jordan, Lubnan juga Syria.

Pengarah UNRWA Tebing Barat, Scott Anderson berkata, semua perkhidmatan agensi masih berjalan seperti biasa ketika ini tetapi keputusan AS membuatkan ramai rakyat Palestin bimbang.

“Mereka bimbang dan risau terhadap keluarga dan masa depan mereka,” katanya.

Selain itu, UNRWA juga menyangkal keras apabila agensi itu berkali dituduh menyebarkan sentimen anti Israel, di sekolah.

Pada masa sama, Duta AS, Nikki Haley menegaskan, AS tidak akan menghulurkan dana kepada rakyat Palestin sehingga negara itu bersetuju kembali ke meja rundingan dan berdamai dengan Israel.

 


Pengarang :