SELANGOR

Warga pelbagai kaum meriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 25 FEB : Masyarakat berbilang kaum di negeri ini hadir memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baru Cina, Peringkat Selangor 2018, di Dataran Petaling Jaya, malam tadi.

Lebih manis, sambutan itu turut dihadiri Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al- Haj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis tahunan itu.

Turut berangkat ke majlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim yang hadir mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama, pimpinan utama Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Hannah Yeoh, Dato’ Iskandar Abdul Samad, Elizabeth Wong, Zaidy Abdul Talib, dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Dalam pada itu, baginda Sultan turut berkenan mencemar duli menggaul sajian makanan tradisional masyarakat Tiong Hua, Yee Sang sebagai simbolik keterbukaan perpaduan dan permuafakatan masyarakat Cina di Selangor.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri, Raja Muda Selangor, Hannah Yeoh dan Dato’ Teng Chang Khim yang turut menggaul Yee Sang sebagai kelaziman tradisi masyarakat Cina, di negara ini.

Majlis turut menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan dipersembahkan kepada umum, antaranya persembahan kesenian Tarian Diabolo, Gu Zheng dan Violin, Tarian Singa, dan pemberian ‘ang pow’ kepafa kanak-kanak berusia di bawah umur 12 tahun.

Terdahulu, penganjuran program berkenaan dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tourism Selangor dan agensi kerajaan.

=EZY=


Pengarang :