SASTERA

Weltanschauung: Betapa dalamnya jurang generasi

Oleh Johan Radzi

ADA dua rungutan yang kedengaran daripada kumat-kamit angkatan pengarang mapan pada Wacana Pemikiran Penulis Muda Wilayah Utara di Alor Setar, hujung Disember 2017. Pertama-tamanya adalah, pengarang muda tidak banyak melukis tentang alam; kedua, lukisan alam mereka kaku, beku dan tak bernyawa.

Seorang daripada mereka memetik karya Azizi Abdullah yang dianggap mahir menghidupkan peristiwa “bermandi di selut” — seolah-olah pembaca boleh mengalaminya secara langsung walau dengan sekadar selayang bacaan. Mereka kemudian menyelar pengarang muda yang rata-ratanya memencilkan alam daripada lambakan karya mereka.

Saya faham benar kegusaran pengarang mapan ini. Lebih-lebih lagi kalangan mereka yang menetap nun jauh di utara. Kedah dilimpahi dengan sawah padi yang luas terbentang. Penduduk di sana sudah lama akrab dengan bendang, tanah, selut, gunung, angin, tali air dan matahari yang berbahang. Persekitaran itulah yang membina gagasan mereka, kemudian ditumpahkan pula ke dalam karya mereka yang “meninggikan” alam itu.

Tetapi seperkara yang sulit untuk mereka fahami; antara sebab mengapa pengarang muda tidak lagi berminat untuk “melukis” alam, kerana pengarang muda tidak lagi lahir di desa, tetapi di kota serta turut mendewasa di sana. Kami tidak melastik burung atau memanjat pokok rambutan yang berbuah lebat seperti ibu bapa kami dahulu. Kami membesar dalam pertembungan budaya yang rencam dan pelbagai simpang siur – seperti “Mekdonalisasi”, gaya hidup di pusat beli-belah, kepesatan teknologi, kebanjiran imigran, ledakan maklumat, krisis eksistentsialisme, serta kesesakan lalu lintas yang tidak kunjung selesai.

Lihatlah pengarang muda dekad ini yang giat berkarya termasuk pemenang utama kategori cerpen Hadiah Sastera Selangor 2018, Azrin Fauzi dan pemenang penghargaan kategori sama Hadiah Sastera Selangor 2018, Syafiq Ghazali. Begitu juga penulis muda berbakat besar seperti Ridhwan Saidi dan Anas Mohd — masing-masing menukang cerita tentang kehidupan di kota raya. Mereka dengan kreatif menggambarkan proses urbanisasi, penularan jenayah serta keabsurdan kota dalam gaya yang segar dan baharu. Ini terbukti dalam penulisan karya mereka antaranya Metaskandal, Debu Bidadari, Babyrina dan Tentang Aku & Perempuan Sigaret. Nak tak nak, suka tak suka, inilah wajah sastera kontemporari anak muda yang harus kita raikan.

Pendek kata, inilah “alam” kami – meskipun ia bukan lagi bersifat semula jadi; inilah dunia kami dan persekitaran ini jugalah yang membentuk gagasan kami untuk berkarya. Kami sudah terlalu jauh dengan selut, bendang dan sawah. Mata kami sudah terbiasa dengan pixel skrin telefon dan jari-jari kami akrab dengan papan kekunci telefon pintar, itulah hakikatnya. Saya teringat kepada filasuf agung Jerman Martin Heidegger apabila dia meramalkan, “epoch zaman kini sudah berubah daripada relasi antara manusia dengan alam (semula jadi) kepada antara manusia dengan teknologi”. Boleh jadi ungkapan beliau benar kerana teknologi sedang perlahan-lahan mengambil peranan kita sebagai pusat semesta dan pertanyaan keabsahan moral tentang itu sudah tergelincir ke dalam perdebatan lain pula. Yang mustahak, wujudnya peralihan antara relasi manusia dan kita sekurang-kurangnya harus menerimanya sebagai suatu kenyataan. Alam kami generasi Y dikelilingi kekotaan dan teknologi dan apakah salahnya jika kita mengarang tentang itu?

Premis ini juga boleh dipakai untuk menjawab rungutan pengarang mapan yang kedua – tentang kekakuan “lukisan alam” oleh pengarang muda. Tentang mengapa gambaran pengarang muda tidak sehidup penulisan pengarang seperti Azizi Abdullah, sangat mudah: alam ini bukanlah alam yang didiami kami. Bagaimanakah untuk kita memaksa seseorang untuk melukiskan sunyi belantara atau lecak bendang andai kaki tidak pernah berjejak ke dalamnya? Perkara yang tidak dialami secara langsung dan hanya secara difahami abstrak barangkali bukan senang, bahkan sangat sukar untuk dilukiskan kembali, sehidup-hidupnya.

Pengarang mapan harus menyedari sekali lagi betapa peralihan relasi telah berlaku. Mereka tidak sepatutnya memaksakan “faham alam” mereka kepada generasi pengarang anak muda yang ternyata jauh berbeza jalurnya. Ini hanya membawa kezaliman — karya pengarang muda akan sentiasa kelihatan kaku dan tidak bernyawa jika terus-terusan  harus tunduk kepada piawaian yang dipetakkan golongan mapan. Biarkan sahaja pengarang muda menggambarkan dunia mereka melalui bola pandangan mata mereka sendiri, dengan percikan kreativiti unik mereka.

Masalah jurang generasi memang berlaku di mana-mana. Hatta dalam kalangan sasterawan di Malaysia sendiri. Yang membezakannya adalah adat resam kehidupan; namun bagaimana kita menanganinya, itu soal lain pula. Satu saranan yang saya terlintas boleh diutarakan adalah meraikan saja weltanschauung atas nama kesusasteraan dan segala-gala yang bersangkut-paut dengannya. Saya setuju dengan penulis muda terkenal Wan Nor Azriq apabila beliau memetik pengarang Amerika Paul Auster tentang masalah ini: pengarang mapan mahukan penghormatan sementara pengarang muda dahagakan pengiktirafan; lantas kedua-duanya saling memerlukan.

Relasi boleh berubah dan biarkanlah anak-anak muda menerokai wilayah yang gelap dan mencabar dengan kekuatan yang mereka ada. Nah, bukankah intipati sastera itu sendiri untuk mengungkap jiwa manusia – tanpa peduli latar apa yang mereka alami?

 * Johan Radzi aktif menulis cerpen dan himpunan cerpennya boleh didapati dalam antologi Tinju dan Peluru.


Pengarang :