GLOBAL

WHO fokus isu kesihatan di kem pelarian terbesar dunia

OLEH NAEEM RAFFI

ISTANBUL, 23 FEB: Lebih 1 juta etnik minoriti Islam Rohingnya berkampung di kem perlindungan sempadan Bangladesh setakat ini sekali gus menjadikannya sebagai kem pelarian terbesar di dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan berkata, kepadatan pelarian di kem berkenaan berisiko tinggi terjejas dengan pelbagai masalah kesihatan serta wabak penyakit.

Pengarah WHO Wilayah Asia Tenggara, Poonam Khetrapal Singh berkata, keperluan kesihatan terus menjadi isu utama bagi 1.3 juta pelarian Rohingya di Cox’s Bazar.

Katanya, usaha utama dibuat agensi Kerajaan Bangladesh adalah mencegah penyebaran penyakit seperti taun dan mengawal wabak campak serta difteria.

“Keadaan krisis kesihatan melibatkan pelarian Rohingya memerlukan usaha berterusan dan sumbangan semua pihak bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada mereka,” katanya.

Khetrapal Singh berkata, faktor air dan kawasan perlindungan perlu dioptimumkan, bagi mengelakkan risiko penyebaran wabak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Rohingya sebagai etnik paling teruk dianiaya di dunia, dengan krisis penindasan yang dihadapi mereka selama puluhan tahun.

Sehingga kini, dianggarkan 9,000 etnik Rohingya dibunuh rejim Myanmar di negeri Rakhine sejak kempen ketenteraan pada 25 Ogos lalu.


Pengarang :