SELANGOR

1,000 ikan dilepaskan demi pemuliharaan paya bakau

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 10 MAC: 1,000 benih ikan siakap dilepaskan demi pemuliharaan paya bakau di sungai Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, di sini, hari ini.

Pelepasan benih ikan disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Ahmad Yunus berkata, pelepasan benih ikan itu penting bagi memelihara habitat semulajadi ikan berkenaan daripada diancam kepupusan.

“Saiz ikan siakap dilepaskan tadi kira-kira empat inci yang dijangka ikan akan membesar dan hasilnya dapat dituai dalam masa tujuh hingga lapan bulan akan datang.

“Selain itu, turut diadakan aktiviti menanam pokok bakau oleh mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertujuan memulihara kawasan paya bakau dan memastikan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan mampan dan lestari dengan ekosistem baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Benih Umum dan Pemuliharaan Kawasan Paya Bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau,Sijangkang, di sini, hari ini.

Program anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Selangor dan USIM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, program sebegini amat bagus dilaksanakan dan dibudayakan dalam diri masyarakat.

“Program menanam pokok bakau dalam kalangan mahasiswa harus dididik supaya mereka sedar betapa pentingnya penjagaan alam sekitar.

“Hal ini akan diuar-uarkan kepada seluruh mahasiswa USIM supaya generasi akan datang turut sama bergerak melakukan aktiviti sedemikian,” katanya.


Pengarang :