SELANGOR

1,000 peserta sertai Mahabbah Walk 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 MAC: Larian amal Mahabbah Walk 2018 anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), di Taman Botani Negara, semalam menyaksikan lebih 1,000 peserta mengambil bahagian.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Ami Nardin Ishak berkata, larian bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat, Untuk Buah Pinggang Sihat’ itu adalah rentetan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut, pada Mac setiap tahun.

“Tahun lalu, kami berjaya menghimpunkan 500 peserta dan sambutan kali ini amat memberangsangkan.

“Peserta terdiri daripada orang awam dan kakitangan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan agensi korporat turut hadir tanda sokongan kepada pesakit dialisis,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, selain pesakit dialisis, turut ditampilkan tahun ini adalah peserta Orang Kelainan Upaya (OKU), muallaf dan anak yatim.

Pada masa sama, katanya, jumlah terkumpul daripada tajaan serta yuran penyertaan larian itu adalah RM45,000 dan ia akan terus disalurkan ke Pusat Dialisis MAIS bagi membiayai pembelian mesin hemodialisis.

“Ia bertujuan menggantikan mesin lama yang kerap mengalami kerosakan kerana kebanyakannya sudah berusia sekitar lapan hingga sembilan tahun,” katanya.

Terdahulu, Larian amal Mahabbah Walk dilepaskan Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Muhammed Khusrin Munawi dan kelompok larian diketuai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Mahabbah Walk 2018 turut diserikan kehadiran penyerang bola sepak pasukan PKNS FC, Safee Sali dan rakan pasukan ylain.

Turut hadir, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling, Dato’ Emran Kadir; Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Bakhtiar Hussin; Setiausaha MAIS dan ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE.

Pada majlis itu, Tengku Amir juga sempat meluangkan masa berswafoto dan beramah mesra bersama peserta larian.


Pengarang :