Selangorkini
NASIONAL

1MDB : Apa tindakan pihak berkuasa Malaysia?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MAC: Pendedahan mengenai dakwaan cubaan rakan rapat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berunding dengan ahli perniagaan Jho Taek Low atau nama popularnya “Jho Low” supaya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digugurkan kini kembali menjadi tumpuan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Malaysia berkenaan kes besar itu.

“Pendedahan ini dibuat selepas rampasan kapal layar Equanimity di Bali ini membawa skandal 1MDB kembali dalam tumpuan.

“Apabila pihak berkuasa seluruh dunia memberi fokus kepada skandal ini, kita wajib bertanya, apa yang dibuat pihak berkuasa Malaysia?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi berkata, Wall Street Journal (WSJ) pernah menerbitkan tuduhan baru berkaitan skandal 1MDB.

“Menurut WSJ, penyumbang utama Parti Republikan Elliott Broidy dan isterinya, peguam Robin Rosenweig mengadakan perbincangan dengan Jho Low mengenai kontrak perundingan.

“Broidy dilaporkan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Artikel WSJ mendakwa bahawa salah satu terma kontrak adalah yuran 75 juta dolar Amerika (RM295 juta) sekiranya Jabatan Kehakiman (DOJ) menghentikan siasatan skandal 1MDB,” katanya.

Malah, Nik Nazmi dalam kenyataanya berkata, Broidy juga pernah menyediakan nota percakapan (talking point) untuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan ke Washington DC pada 2017 untuk bertemu dengan Presiden Trump.

Beliau berkata, Broidy di samping firma guaman Rosenweig, Colfax Law Office Inc., kedua-duanya menafikan mewakili Malaysia atau pemimpinnya atas sebarang kapasiti.

“Mereka mengakui firma mereka dilantik Pras Michel, sahabat Low bertujuan memberikan nasihat strategik sebagai pasukan yang lebih besar kepada Low,” katanya.


Pengarang :