BERITA UTAMANASIONAL

Malaysia hanya berani lindungi Jho Low – Mohamed Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Pihak berkuasa negara ini gagal mengambil tindakan terhadap penyelewengan isu pembelian kapal layar, Equanimity bernilai RM1 bilion menggunakan dana syarikat kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kes terbabit perlu diselesaikan segera dengan membawa pulang hartawan Jhow Low untuk diheret ke muka pengadilan.

Beliau berkata, pihak berkuasa Indonesia dilihat lebih berani tampil mengambil tindakan menerusi kerjasama dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) untuk merungkai isu pembelian kapal mewah berkenaan.

“Inilah sebabnya saya memfailkan semakan kehakiman tahun lalu terhadap pihak berkuasa Malaysia, iaitu Ketua Polis Negara, bertujuan menahan dan menangkap Jho Low supaya dibawa ke Malaysia dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Usaha ini digagalkan di bawah Kerajaan Persekutuan sekarang. Atas sebab itu, kita perlu mengundi untuk perubahan pada pilihan raya umum akan datang, kerana undi untuk perubahan itu adalah undi untuk keadilan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Reuters melaporkan pihak berkuasa Indonesia merampas sebuah kapal mewah yang dijual pada kadar RM1 bilion, meggunakan dana 1MDB.

Kapal mewah yang diberi nama Equanimity (Ketenangan) berharga USD260 juta itu didakwa dibeli oleh Jho Taek Low atau nama popularnya “Jho Low” yang sinonim sebagai ‘rakan niaga’ dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, media Indonesia, MetroTV turut mengesahkan rampasan kapal mewah berkenaan.

“Sejak semalam kami sedang menyiasat anak-anak kapal dan kini kami mengambil tindakan selepas menerima arahan dari mahkamah untuk merampas kapal mewah itu,” kata Agung Setya, Pengarah Biro Penyiasatan Jenayah Khas dan Ekonomi Indonesia, dipetik oleh Metro TV.

Dilaporkan, kapal mewah yang berlabuh di sebuah perairan berdekatan dengan Pulau Bali, boleh memuatkan seramai 26 penumpang dan 33 krew anak kapal, malah turut mempunyai landasan helikopter.


Pengarang :