SELANGOR

Baik pulih bumbung LRT selesai dua minggu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 MAC : Kerja membaik pulih sepenuhnya bumbung di kawasan landasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, Petaling Jaya, dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Ketua Operasi Rel Laluan Kelana Jaya Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), Muhammad Syafiq Abdullah berkata, kerja baik pulih itu tidak akan menggangu operasi rel terbabit kerana ia akan dijalankan dari jam 12.30 tengah malam hingga jam 4 pagi mulai hari ini.

Muhammad Syafiq berkata, pihaknya masih menunggu stok jubin daripada pembekal untuk kerja pemasangan di bumbung berkenaan.

“Kita memerlukan stok jubin sama seperti sebelum ini untuk dipasang pada bumbung landasan berkenaan, justeru ia memerlukan sedikit masa.

“Jubin itu sudah bertahan selama 20 tahun, tiba masanya kita tukar (jubin di bumbung itu).

“Kita akan memastikan ia dipasang dengan rapi. Aspek keselamatan pengguna sentiasa diutamakan.

“Harapan kita semoga yang dirancang (membaiki bumbung) akan berjalan lancar dan cuaca mengizinkan semua kerja membaik pulih,” katanya memetik laporan BH Online, hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Syafiq menzahirkan penghargaan kepada pengguna LRT berkenaan atas kesabaran mereka berdepan operasi tren yang dihentikan kelmarin berikutan bumbung stesen itu tercabut.

“Kita bawa khabar gembira kepada pengguna. Sepatutnya stesen terbabit mula operasi pagi ini, namun kita berjaya beroperasi pada jam 9.50 malam tadi.

“Terima kasih atas kesabaran pengguna, kita harap mereka akan terus menggunakan LRT sebagai pengangkutan awam ke lokasi lain,” katanya.

Terdahulu, stesen LRT Kelana Jaya ditutup sementara waktu atas faktor keselamatan susulan hujan lebat dan angin kencang pada tengah hari kelmarin.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa keping atap bumbung stesen diterbangkan angin.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.


Pengarang :