PBTSELANGOR

3 premis dikenakan tindakan bina tanjakan tanpa kebenaran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 29 MAC: Sebanyak tiga buah premis dikenakan kompaun kerana membina tanjakan tanpa kebenaran dalam Operasi Bersepadu Memecah Tanjakan (Ramp) dijalankan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Jalan Keluli N 7/N di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, operasi dilaksanakan itu bagi mengesan dan menangani masalah pemilik premis perniagaan menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan

“Operasi ini melibatkan 15 kakitangan daripada Jabatan Kewangan, Kejuruteraan, Pengkuatkuasaan, Lesen, Bangunan dan Bahagian Korporat Perhubungan Awam.

“Kita menggunakan sebuah jentera ‘excavater’ untuk menanggalkan tanjakan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, Shahrin turut menegaskan bahawa penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

“Hanya 21 kategori perniagaan dibenarkan memohon sewaan tempat letak kereta khas bagi tujuan perniagaan.

“Ia termasuklah kedai membaiki dan menjual aksesori kereta atau motosikal, ruang pameran kereta dan motosikal, kedai perabot, klinik, pasaraya serta kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang dan sebagainya,” katanya.

Oleh itu, untuk mengelakkan daripada dikenakan kompaun dan tindakan tegas, beliau menggesa pemilik premis supaya segera membuat permohonan sewaan petak khas sebelum menggunakan tempat letak kereta tersebut .

=EZY=

 


Pengarang :