SELANGOR

3,588 kemudahan Wifi Smart Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 MAC: Sebanyak 3,588 perkhidmatan jaringan Wifi Smart Selangor telah diwujudkan sejak bermula pelaksanaannya pada Disember 2015 sehingga Disember 2017.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia merangkumi penambahan liputan wifi di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tempoh dua tahun berkenaan.

“Sebanyak 12 PBT di Selangor, termasuk iaitu di bandar dan luar bandar dalam tempoh berkenaan telah menunjukkan peningkatan lokasi hotspot. Antaranya adalah Majlis Bandaraya Shah Alam daripada 399 kepada 607, Majlis Bandaraya Petaling Jaya daripada 377 kepada 563, Majlis Perbandaran Subang Jaya (321 kepada 519), manakala Majlis Perbandaran Kajang (413 kepada 493).

“Bagaimanapun, jumlah hotspot ini mungkin berubah dari semasa ke semasa membabitkan penukaran, pemasangan dan penambahan wifi di kawasan yang sesuai.

“Selain itu, usaha meningkatkan pemasangan wifi di kawasan PBT yang masih rendah, khususnya di kawasan luar bandar turut akan terus diberikan keutamaan walaupun ia adalah cabaran utama bagi merealisasikan hasil lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail berkenaan kemudahan wifi percuma Smart Selangor dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, pelaksanaan industri pemasangan wifi Smart Selangor setakat ini mempunyai dua pembekal iaitu Telekom Malaysia (TM) yang utama dan Celcom (kawasan tiada jaringanTM).

=EZY=


Pengarang :