Foto Sumber: SINAR HARIAN
BERITA UTAMANASIONAL

5 tahun masalah air, penduduk bina tangki sendiri

PAHANG 8 MAC: Penduduk Kampung Bukit Nikmat dekat sini di Jerantut Pahang mengambil inisiatif membuat tangki, membeli tong dan menyediakan besen menyimpan bekalan air bersih sejak dua tahun lalu.

SINAR HARIAN melaporkan usaha itu dilakukan berikutan masalah air yang dihadapi kira-kira lima tahun lalu yang didakwa berpunca daripada masalah paip yang kerap pecah.

Peniaga kedai makan, Mohd Nizam Mohd Hashim, 36, berkata, dia menghabiskan sekitar RM300 membina mini tangki di kedainya.

Katanya, ia diperbuat daripada tong dengan muatan sekitar 151 liter air.

“Sejak berniaga di sini lebih lima tahun lalu, dah ada masalah air. Sedikit sebanyak ganggu juga perniagaan. Saya ambil keputusan beli tong simpan air sejak dua tahun lalu untuk lancarkan urusan,” katanya.

Difahamkan, masalah paip pecah berikutan paip lama dianggar berusia lebih 40 tahun yang menjejaskan kira-kira 800 penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Nikmat, Nasar Iberahim berkata, selain inisiatif penduduk, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) juga menyediakan tangki setiap kali musim perayaan dan kenduri bagi membantu penduduk.

Foto Sumber: SINAR HARIAN

“Masalah air ini kadang tak menentu, tapi dalam sebulan ada tiga empat kali paip pecah mungkin disebabkan keadaan paip itu sendiri yang dah lama. Kalau terputus biasanya makan masa sehari atau dua hari kerana Paip akan datang bila ada aduan.

“Kalau kenduri atau musim perayaan, kita akan maklum Paip lebih awal untuk hantar tangki. Cuma yang kita bimbangkan jika berlaku kematian kerana ia tidak boleh dijangka,” katanya.

Beliau berharap pihak berwajib dapat membantu mengatasi masalah itu.

SUMBER: SINAR HARIAN

FOTO SUMBER: SINAR HARIAN


Pengarang :