SELANGORSUKANKINI

500 peserta sertai Acara Berbasikal Kayuhan Malam MBSA

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Seramai 500 peserta meriahkan Acara Berbasikal Kayuhan Malam anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini pada 24 Mac lalu.

Ketua Bahagian Korporat & Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, program kayuhan itu merupakan aktiviti popular di Shah Alam bertujuan melahirkan masyarakat sihat dan cergas.

“Larian sejauh 10 kilometer (km) itu mengelilingi Pusat Bandar Shah Alam dengan melalui seksyen 2, Seksyen 6, Seksyen 7 dan Seksyen 14.

“Program bermula jam 6 petang itu disempurnakan acara pelepasannya oleh Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, selain menyediakan cabutan bertuah kepada 20 peserta kayuhan MBSA turut memberikan T-Shirt percuma kepada 400 terawal mendaftar.

Sementara itu, acara kayuhan itu diadakan bersempena Program 60+ Earth Hour Shah Alam 2018 sebagai simbolik sokongan terhadap usaha World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia untuk menyelamatkan bumi daripada pencemaran alam sekitar.

Program 60+ Earth Hour ini merupakan kempen dilaksanakan secara menyeluruh bertujuan memberikan kesedaran mengenai isu pemanasan global.

Ia juga merupakan salah satu inisiatif MBSA untuk mendidik komuniti Shah Alam terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar serta menyokong usaha menyelamatkan bumi.

=EZY=


Pengarang :