SELANGOR

53 projek rumah terbengkalai berjaya diselesai sejak 2008

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Sebanyak 53 projek perumahan terbengkalai melibatkan 24,660 unit berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri sejak 2008 hingga 2017.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan ke atas pemaju bermasalah dengan mendapatkan nama Ahli Lembaga Pengarah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenarai hitamkan dan diedar kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui sistem pendaftaran pemaju (SPEM) di LPHS, pemaju diwajibkan berdaftar sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Kebenaran Merancang diluluskan PBT.

“Setelah dikenalpasti nama-nama pemaju yang disenaraihitamkan maka pemaju tersebut tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa pembangunan di Selangor,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADN Kota Anggerik, Yaakob Sapari di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Selain itu Iskandar berkata, pemaju juga tidak dibenarkan membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer di bawah nama syarikat pemaju yang lain.

Terdahulu, statistik akhir mencatatkan sebanyak 116 projek perumahan terbengkalai di Selangor dengan jumlah unit sebanyak 42,541 unit pada Disember 2008.

=EZY=


Pengarang :