SELANGOR

673 penduduk Kuala Selangor terima manfaat IPR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 13 MAC: Seramai 673 penduduk sekitar Kuala Selangor menerima bantuan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM1.6 juta sempena Karnival Inisiatif Peduli Rakyat, di sini.

Perangsang Selangor dalam kenyataan berkata, ia merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Yayasan Hijrah Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi #SmartSelangor memperkenalkan program itu bagi memenuhi agenda ‘Hasil Negeri Untuk Rakyat’ bertujuan memastikan kejayaan negeri turut dikongsi bersama rakyat.

“Sejumlah RM1.9 bilion hasil kekayaan negeri diagihkan kepada 5.9 juta rakyat Selangor menerusi kejayaan IPR, yang mana kira-kira 1.3 juta purata pengguna menerima manfaat air percuma setiap tahun.

“Di samping itu, bantuan kewangan bagi pembelian barangan keperluan asas bernilai RM200 setiap bulan diberi kepada kaum ibu berpendapatan rendah yang dikenali Kasih Ibu Smart Selangor (KISS),” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, karnival berkenaan merupakan siri keempat jelajah Selangor selepas ia dilancarkan di daerah Petaling pada Mei 2017, siri kedua di Gombak pada Ogos 2017 dan siri ketiga di Hulu selangor pada November lalu.

Karnival berkenaan menyaksikan kebanjiran lebih 2,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuk kenduri rakyat, pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter dan pameran bantuan IPR serta sukan rakyat.


Pengarang :