SELANGOR

Abdul Halim meninggal akibat kanser hati

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 MAC: Anggota Dewan Diraja Selangor, Allahyarham Abdul Halim Abdul Rauf, 79, meninggal dunia akibat penyakit kanser hati.

Anak sulungnya, Shahrizal Hisham, 50, berkata bapanya dikesan mengidap penyakit itu kira-kira dua bulan lalu.

“Bermula Disember tahun lalu berat badannya turun mendadak dan tahap kesihatannya juga menurun.

“Apabila dirujuk ke doktor pada Januari lalu, bapa disahkan mengidap kanser dan telah merebak ke hatinya,” katanya kepada media ketika ditemui selepas pengkebumian bapanya di Makam Diraja Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham selepas itu menjalani rawatan susulan dan sering berulang alik ke hospital dari rumahnya di Bukit Damansara.

Katanya, ekoran tahap kesihatannya yang kian merosot bapanya hanya sempat menjalani rawatan radioterapi.

Abdul Halim meninggal dunia di rumah anak kedua, Rozhan Anwar, 49, di Petaling Jaya, dekat sini, semalam.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berangkat mencemar duli menghadiri majlis pengkebumian Abdul Halim.

Turut bersama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama pimpinan Kerajaan Negeri serta hadirin lain.

Sebelum itu, Mohamed Azmin bersama jemaah menunaikan solat jenazah ke atas Allahyarham di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), selepas solat Asar.

Solat jenazah diimamkan Imam Besar MSSAAS, Muhammad Farhan Wijaya.

Abdul Halim meninggalkan seorang balu, Datin Noralis Abdullah serta tiga anak lelaki, Shahrizal Hisham, Rozhan Anwar dan Razif Shah, 41.


Pengarang :