NASIONAL

Adakah 8 unit kondominium milik bekas pengarah DBKL dirampas?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Kerajaan Persekutuan diminta menjelaskan status aset milik bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali sama ada dirampas atau sebaliknya selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara lapan bulan.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, jumlah hukuman penjara yang dikenakan disifatkan tidak setimpal dan memberikan mesej salah kepada pegawai tinggi Kerajaan sekiranya menyalahgunakan kedudukan demi mendapatkan kepentingan peribadi.

“Kita ada masalah dengan keputusan kerana hanya denda RM80,000 dan penjara lapan bulan sahaja. Ini tidak cukup.

“Ini memberikan mesej yang salah khususnya untuk pengarah-pengarah agensi Kerajaan lain bahawa kalau mereka membuat salah dan menyalahgunakan kuasa untuk mencari keuntungan sendiri, hanya hukuman penjara beberapa bulan sahaja dikenakan selepas disabitkan kesalahan.

“Apabila keluar penjara mereka boleh simpan semula aset, ini adalah salah. Sebagai contoh individu melakukan rompakan USD1 juta di bank dan menyimpannya dalam akaun peribadi, selepas menjalani hukuman, beliau boleh berhibur dengan wang itu.

“Saya ingin tanya kenapa lapan buah kondominium tidak dirampas? Adakah selepas penjara lapan bulan, beliau (Syed Afendy) akan dapat semula kondominium itu?” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 terhadap Syed Afendy Ali selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan lapan unit kondominium kesemuanya bernilai hampir RM2 juta.

Hakim Allaudeen Ismail memutuskan keputusan itu setelah mendapatu pembelaan gagal menimbulkan keraguan menuasabah terhadap kes pendakwaan.

=EZY=


Pengarang :