NASIONAL

Agong seru tingkatkan keselamatan ruang siber, risikan, sempadan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V menyeru supaya tahap kesediaan pelbagai agensi keselamatan negara terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.

Baginda bertitah, antaranya dengan meningkatkan penguatkuasaan terhadap ruang siber, keupayaan risikan, rondaan di sempadan dan perairan negara serta membanteras aktiviti permerdagangan orang.

“Ancaman ke atas keselamatan dan keamanan negara merupakan sesuatu yang nyata dan muncul dalam pelbagai bentuk,” titahnya.

Baginda bertitah demikian dalam ucapan perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang Ke-13 2018 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Baginda juga mengingatkan tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan dan mainan politik.

Titah baginda, kerajaan juga perlu prihatin terhadap ancaman penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda dan pelajar yang kini semakin serius.

“Justeru, beta menggesa semua pihak mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan lebih berkesan untuk membanteras ancaman tersebut,” titah baginda.

=EZY=


Pengarang :