NASIONAL

Ahli akademik: Idea sistem PM dua penggal sangat ideal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 MAC: Cadangan mengehadkan pemegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal seperti terkandung dalam Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan disifatkan satu idea yang ideal untuk dilaksanakan, di negara ini.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, sistem itu terbukti berkesan di beberapa negara termasuk negara jiran, Indonesia.

“Sudah sampai masanya negara perlukan sistem yang lebih boleh diramal dan lebih boleh dipercayai kerana sistem seperti ini adalah satu cadangan lebih progresif tetapi perlu mendapatkan pindaan. Maknanya, kita perlu membentangkan dalam parlimen usul ini.

“Oleh kerana seseorang perdana menteri itu tahu tempoh pemerintahan dia tak lama, maka dia akan berusaha yang terbaik sepanjang tempoh berkhidmat dan elemen negatif seperti kronisme, nepotisme juga risiko menggunakan kuasa untuk mendapatkan faedah peribadi juga rendah atau mudah dibendung kerana tempoh dia pegang jawatan tidak terlalu lama.

“Kita lihat sistem begini memang berjaya seperti yang kita lihat di Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia tiada masalah, maka presiden dapat jalankan tanggungjawab dengan baik,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, membiarkan seseorang terlalu lama menguasai tampuk pemerintahan juga akan meningkatkan risiko berlakunya pemerintahan kuku besi ekoran berlakunya pengumpulan kuasa yang terlalu kuat dan besar.

Beliau berkata, sebaliknya sistem dua penggal juga dianggap satu tempoh yang terbaik ekoran tidak terlalu pendek tetapi tidak juga terlalu panjang.

“Kalau satu penggal, sukar untuk kita lihat kesan terhadap sesuatu dasar itu kerana terlalu pendek tetapi dua penggal apa juga perancangan yang dibuat pada penggal pertama boleh dilihat pada penggal kedua dan ini sudah cukup untuk seseorang itu meninggalkan legasi yang ingin ditinggalkan.

“Jika lebih dua penggal, dianggap kuasa itu semakin bertapak atau mencengkam kuat dan penyalahgunaan kuasa mula wujud atau apabila dia tahu dia masih boleh berkuasa walaupun sudah memegang dalam satu tempoh lama,” katanya.


Pengarang :