NASIONAL

Ahli Akademik saran sistem dua penggal liputi semua peringkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 MAC: Sistem mengehadkan pemegang jawatan perdana menteri dan menteri besar kepada dua penggal seperti dalam Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan wajar diperluaskan dalam semua peringkat pentadbiran awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, langkah itu terbukti berkesan apabila Indonesia berjaya mengurangkan amalan salah guna kuasa selepas melaksanakannya dalam pentadbiran awam, negara jiran terbabit

“Idea ini pada peringkat awal mungkin boleh dicadang dalam sistem politik tetapi kita juga perlu melihat dalam kerangka lebih luas terutama dalam aspek pentadbiran untuk mengehadkan tempoh seseorang itu menjadi ketua jabatan misalnya.

“Bukan sahaja peringkat ketua jabatan tetapi juga jawatan pengarah dan peringkat pertengahan juga perlu juga dihadkan dua penggal atau 10 tahun seperti jawatan pengetua sekolah dan jawatan lain sebelum dipindahkan.

“Sistem ini di Indonesia sangat berjaya kerana mampu mengurangkan salah guna kuasa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, semalam.

Katanya, sama seperti anggota pentadbiran awam dan GLC, maka jawatan tertinggi dan jawatan penting lain dalam semua sektor berkepentingan awam juga perlu dihadkan.

Sebelum ini, PAKATAN dalam ‘Buku Harapan – Membina Negara Memenuhi Harapan’ menggariskan 14 perkara dalam janji utama yang bakal dilaksanakan, dalam tempoh lima tahun.

Antara janji itu termasuk mengehadkan dua penggal jawatan perdana menteri dan menteri besar, memperkasakan perkhidmatan awam, memacu ekonomi dan daya saing negara, satu juga pekerjaan baru berkualiti, hapuskan tol secara berperingkat, pendidikan percuma untuk institusi pengajian tinggi awam , gaji minima RM1,500 secara berperingkat dan reformasi institusi negara.

Selain itu, dalam tempoh lima tahun juga PAKATAN berjanji untuk desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak, membina Malaysia inklusif, moderat dan gemilang, utamakan pekerja tempatan, mengurangkan pekerja asing secara berperingkat dan mengekalkan BR1M kepada golongan B40.


Pengarang :