NASIONAL

Ahli Parlimen pembangkang boikot undi belah bahagian

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Ahli Parlimen pembangkang memulaukan undi belah bahagian bagi meluluskan usul pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berkata hal ini berikutan proses undi belah bahagian telah disalahgunakan untuk memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

“Semua Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan dan pada masa ini BN syok sendiri jalankan undi belah bahagi,” katanya pada sidang media di bilik media Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, selain Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Ahli Parlimen PAS turut tidak mengambil bahagian dalam proses undi belah bahagian itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata salah guna undi belah bahagian bukanlah kali pertama berlaku.

“Ini bukan kali pertama berlaku. Sebelum ini pernah berlaku Speaker beri masa hingga 15 minit untuk Ahli Parlimen BN masuk ke dewan tetapi kali ini adalah rekod terburuk dengan memberi masa sejam setengah,” katanya.

=EZY=


Pengarang :