SELANGOR

Air: Persekutuan perlu umum nilai sebenar diputus penilai bebas

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali mendesak Kerajaan Persekutuan mengumumkan nilai sebenar yang diputuskan penilai bebas dalam isu penstrukturan semula industri air.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri perlu tahu nilai sebenar ekuiti rundingan pengambilalihan konsesi Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) untuk menyegerakan rundingan dan perbincangan.

“Kalau saya boleh kongsi laporan penilai bebas kenapa mereka tidak boleh. Saya perlu tahu sebab kita tidak mahu membebankan rakyat dan pengguna.

“Apabila sebelum ini kita menyerah laporan penilaian bebas kepada Kerajaan Persekutuan dan mereka juga bersetuju serta turut melantik penilai bebas namun apabila siap nilai itu tidak dikongsi dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Karnival Himpunan Rakyat, di Dewan Melawati Shah Alam, hari ini.

Mohamed Azmin menjelaskan ketika zaman di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau membuat tawaran sebanyak RM3 bilion sebagai nilai yang diperakui Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

“Selepas saya ambil alih Kerajaan Selangor saya mempersoalkan bagaimana nilai itu dibuat tanpa perkiraan yang adil.

“Saya tidak mahu membebankan rakyat oleh itu Kerajaan Negeri telah melakukan melantik penilai bebas.

“Oleh itu saya desak Kerajaan Persektuan untuk kemukakan nilai kerana saya yakin Kerajaan Negeri boleh buat sebab kita ada nilai aset yang banyak,” katanya.

=EZY=


Pengarang :